BAB 1

  1. PENDAHULUAN


     

BAB 2 – UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM


 

2.1 DEFINISI

Dalam istilah ilmu faraid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tarikah. Lafaz al-tarikah atau al-tirkah ialah masdar bermakna maf'ul yang bererti matrukah (sesuatu yang ditinggalkan). Al-tarikah menurut bahasa , iaitu sesuatu yang ditinggalkan dan dibiarkan oleh seseorang.(H. Addys Aldisar dan H. Fathurrahman : 2004).

    Menurut istilah syarak pula berlaku perselisihan fuqaha' dalam menentukan maknanya. Perselisihan tersebut dapat dilihat seperti berikut : (Zambro Muda dan Ridzuan Awang : 2006).

  1. Jumhur fuqaha' mendefinisikan al-tarikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda, hak-hak yang mempunyai unsur kebendaan ke atas hak-hak persendirian. Kesemuanya ini akan diwarisi oleh waris atau bukan waris. Menurut pendapat ini juga, hak-hak yang boleh diwarisi termasuklah lalulintas atau hak minuman, hak manfaat ke atas barang yang disewa dan dipinjam, hak-hak khiyar seperti khiyar sharat. Begitu juga termasuk harta peninggalan si mati seperti arak yang telah menjadi cuka setelah kematiannya, diyat yang diambil dari pembunuhannya dan apa-apa yang tersangkut pada pukatnya yang telah dipasang pada masa hidupnya.
  2. Mazhab Hanafi mendefinisikan al-tarikah ialah segala harta dan hak-hak kebendaan yang menjadi milik si mati. Harta termasuklah harta alih dan tak alih serta hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh orang lain kepadanya.
  3. Setengah pendapat mengatakan bahawa al-tarikah ialah segala harta benda yang ditinggalkan oleh si mati setelah diselesaikan hutang dan wasiatnya. Oleh itu, al-tarikah menurut pendapat ini ialah harta peninggalan si mati yang telah bersih dari hutang dan wasiat serta akan diwarisi oleh waris-warisnya yang masih hidup.


     

2.2 SUMBER UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM

Sumber undang-undang pusaka Islam ialah al-Quran, al-Sunnah Nabi s.a.w dan ijmak para ulama. Ijtihad atau qiyas di dalam ilmu faraid tidak mempunyai ruang gerak, kecuali jika ia sudah menjadi ijmak para ulama.( H. Addys Aldisar dan H. Fathurrahman : 2004).

2.2.1 Al-Quran

Di dalam al-Quran terdapat dua bentuk ayat yang berkaitan dengan pusaka iaitu ayat mujmal dan ayat mufassal.

Ayat kategori pertama menjelaskan hak-hak waris dalam pusaka secara umum tanpa menentukan bahagian setiap waris secara terperinci. Firman Allah s.w.t :

ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ ﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢ ﭣ ﭤ

"Orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang perempuan ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)." (al-Quran, al-Nisa' 4:7)

ﯯ ﯰ ﯱ ﯲ ﯳ ﯴ ﯵ ﯶ ﯷ ﯸ ﯹ ﯺ ﯻ ﯼ ﯽ ﯾ ﯿ ﰀ ﰁ ﰂ ﰃ ﰄ ﰅ ﰆ

"Dan orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (al-Quran, al-Anfal 8:75)

Manakala ayat kategori kedua, Allah s.w.t telah menjelaskan secara terperinci waris-waris dan kadar bahagian masing-masing dalam ayat al-mawaris iaitu ayat 11, 12 dan 176 dari surah al-Nisa'.


 

ﮓ ﮔ ﮕ ﮖ ﮗ ﮘ ﮙ ﮚ ﮛ ﮜ ﮝ ﮞ ﮟ ﮠ ﮡ ﮢ ﮣ ﮤ ﮥ ﮦ ﮧ ﮨ ﮩ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ ﮰ ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ ﯧ ﯨ ﯩ ﯪ ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ ﯰ ﯱ ﯲ ﯳ ﯴ ﯵ ﯶ ﯷ ﯸ ﯹ ﯺ ﯻ ﯼ ﯽ ﯾ ﯿ ﰀ ﰁ ﰂ ﰃ ﰄ

"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah separuh harta itu. Dan bagi ibu bapa simati, tiap-tiap seorang dari keduanya seperenam dari harta yang harta yang ditinggalkan jika simati ada anak. Tetapi jika simati tiada anak, sedang yang mewarisinya hanyalah ibu bapanya, maka bahagian ibunya sepertiga. Kalau pula simati itu mempunyai beberapa saudara, maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya lebih dekat manfaaatnya kepada kamu. Ini adalah ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (al-Quran, al-Nisa' 4:11)


 

ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ ﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢ ﭣ ﭤ ﭥ ﭦ ﭧ ﭨ ﭩ ﭪ ﭫ ﭬ ﭭ ﭮ ﭯ ﭰ ﭱ ﭲ ﭳ ﭴ ﭵ ﭶ ﭷ ﭸ ﭹ ﭺ ﭻ ﭼ ﭽ ﭾ ﭿ ﮀ ﮁ ﮂ ﮃ ﮄ ﮅ ﮆ ﮇ ﮈ ﮉ ﮊ ﮋ ﮌ ﮍ ﮎ ﮏ ﮐ ﮑ ﮒ ﮓ ﮔ ﮕ ﮖ ﮗ ﮘ ﮙ ﮚ ﮛ ﮜ ﮝ ﮞ ﮟ ﮠ ﮡ ﮢ ﮣ ﮤ ﮥ ﮦ ﮧ ﮨ ﮩ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ ﮰ ﮱ ﯓ ﯔ

"Dan bagimu seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu jika mereka tiada anak. Tetapi jika mereka ada anak maka kamu beroleh seperempat dari harta yang ditinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dengannya atau sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tiada anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka ialah seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan dengannya dan sesudah dibayar hutangmu. Dan jika simati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau ibu bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki, atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah seperenam. Kalau pula mereka lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga, sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan olehnya, dan sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memudharatkan. Itulah ketetapan Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar." (al-Quran, al-Nisa' 4:12)


 

ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ ﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢ ﭣ ﭤ ﭥ ﭦ ﭧ ﭨ ﭩ ﭪ ﭫ ﭬ ﭭ ﭮ ﭯ ﭰ ﭱ ﭲ ﭳ ﭴ ﭵ ﭶ ﭷ ﭸ ﭹ ﭺ ﭻ ﭼ ﭽ ﭾ ﭿ ﮀ ﮁ ﮂ ﮃ ﮄ ﮅ ﮆ ﮇ ﮈ

"Mereka meminta fatwa kepadamu (mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara Kalalah, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan mempunyai seorang saudara perempuan maka bagi saudara perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkan; dan ia pula mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Jika saudara perempuan dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka itu ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (al-Quran, al-Nisa' 4:176) (Zambro Muda dan Ridzuan Awang : 2006).


 

2.2.2 Al-Sunnah Nabi s.a.w

Ada beberapa hadis Nabi s.a.w yang menerangkan tentang waris-waris dan pembahagian masing-masing, antaranya :

    Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda :

"Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yang berhak. Sesudah itu, bakinya untuk waris lelaki yang lebih utama." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)(Dr. Fathur Rahman 1975).


 

"Hak wala' itu hanya bagi orang yang telah membebaskan hamba." (Hadis riwayat Muttafaqun alaih) (H. Addys Aldisar dan H. Fathurrahman : 2004).


 

"Bagi seorang anak perempuan ½, seorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) 1/6 untuk melengkapkan 2/3 dan baki (asabah) untuk seorang saudara perempuan." (Hadis riwayat al-Bukhari)(Mohd Zamro & Mohd Ridzuan 2006).


 

2.2.3 Ijmak

Ijmak para sahabat dan tabi'in telah berlaku dalam pembahagian pusaka, antaranya (Mohd Zamro & Mohd Ridzuan 2006) :

  1. Nenek seorang atau dua orang (ibu kepada ibu atau ibu kepada bapa) mereka berkongsi bersama-sama dalam bahagian 1/6.
  2. Anak lelaki kepada anak lelaki akan mengambil tempat anak lelaki ketika ketiadaannya, datuk akan mengambil tempat bapa ketika ketiadaannya dan saudara lelaki sebapa akan mengambil tempat saudara lelaki seibu sebapa ketika ketiadannya.


 

2.3 HUKUM MEMBAHAGIKAN HARTA PUSAKA

Bagi umat Islam, di dalam melaksanakan peraturan-peraturan syariat Islam yang telah ditunjukkan oleh nas-nas yang yang sarih, termasuklah dalam soal pembahagian harta pusaka sekalipun, menjadi suatu kewajipan selama mana peraturan tersebut tidak ditunjukkan oleh dalil nas yang lain yang menunjukkan ketidakwajibannya. Seperti mana telah disebutkan oleh Allah s.w.t :

ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ ﯧ ﯨ ﯩ

"Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taatkan Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan-Nya ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." (al-Quran, al-Nisa' 4:13)

ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ ﯰ ﯱ ﯲ ﯳ ﯴ ﯵ ﯶ ﯷ

"Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas Syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah ia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina."(al-Quran, al-Nisa' 4: 14)


 

Nabi s.a.w memerintahkan agar kita membahagikan harta pusaka menurut al-Quran dengan sabdanya :

"Bahagikanlah harta pusaka antara ahli-ahli waris menurut kitabullah." (Hadis riwayat Muslim & Abu Daud) (Dr. Fathurrahman 1975)


 

2.4 HUKUM BELAJAR DAN MENGAJARKAN ILMU FARAID

Rasulullah s.a.w telah memerintahkan umat Islam supaya belajar dan mengajarkan ilmu faraid. Keadaan ini perlu kerana sekiranya tidak ada para ulama ahli faraid dibimbangi akan berlakunya perselisihan di dalam membahagikan harta pusaka. Sabd Nabi s.a.w :

"Pelajarilah al-Quran dan ajarkannya kepada orang ramai dan pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang ramai. Kerana saya adalah orang yang bakal direnggut (mati), sedang ilmu itu bakal diangkat. Hampir-hampir saja dua orang yang bertengkar tentang pembahagian harta pusaka, maka mereka berdua tidak menemukan seorangpun yang sanggup memfatwakannya kepada mereka." (Hadis riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Daruqutni).

    Perintah tersebut bererti perintah wajib. Kewajiban belajar dan mengajar itu boleh gugur apabila ada sebahagian orang telah melaksanakannya, tetapi jika tidak ada seorang pun yang mahu melaksanakannya maka orang Islam semuanya akan menanggung dosa disebabkan melalaikan suatu kewajiban seperti juga meninggalkan kewajiban-kewajiban kifayah yang lain. (Dr. Fathurrahman 1975).

2.5 KEISTIMEWAAN UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM

Undang-undang pusaka Islam mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang tidak terdapat di dalam sistem-sistem yang lain. Di antara keistimewaannya ialah (Mohd Zamro & Mohd Ridzuan 2006):

  1. Pengasas undang-undang pusaka Islam ialah Allah s.w.t melalui ayat al-mawarith dan diperjelaskan pula oleh sunnah Rasulullah s.a.w.
  2. Ilmu faraid dianggap sebagai sebahagian daripada ilmu kerana ia berkaitan dengan keadaan manusia selepas kematian da juga pada masa hidupnya. Sabda Nabi s.a.w :

    "Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkannya kepada manusia, sesungguhnya ia separuh daripada ilmu, ia muda dilupakan dan(ilmu faraid) merupakan ilmu yang mula-mula dicabut daripada umatku"(Hadis riwayat Ibn Majah)

  3. Matlamat terakhir undang-undang pusaka Islam ialah untuk mempastikan keadilan kepada waris iaitu dengan cara memberikan hak kepada setiap waris yang berhak dalam pembahagian harta pusaka.


 

BAB 3 UNDANG-UNDANG DAN PENTADBIRAN PUSAKA ISLAM DI MALAYSIA


 

3.1 SEJARAH UNDANG-UNDANG DAN PENTADBIRAN PUSAKA ISLAM DI MALAYSIA

Pentadbiran harta pusaka di negara Malaysia adalah suatu cabang penghakiman yang disenaraikan sebagai tugas Persekutuan mengikut senarai 1, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum Perang Dunia Kedua, pentadbiran pusaka orang-orang Islam di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UFMS) seperti Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah, dan Perlis, pentadbiran dan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam atau Mahkamah Syariah di negeri masing-masing.

Selepas Perang Dunia Kedua, hal ehwal pentadbiran dan pembahagian harta pusaka adalah dikendalikan oleh Mahkamah Sivil. Undang-undang pentadbiran dan pembahagian harta pusaka, seperti undang-undang lain yang dipakai di negara kita hari ini, adalah berasaskan satu peniruan secara tulen daripada undang-undang Inggeris.Semenjak hal ehwal pentadbiran harta pusaka diletakkan di bawah urusan Mahkamah Sivil, undang-undang mengenai pentadbiran harta pusaka merangkumi semua harta pusaka di negara ini tanpa mengira suku kaum dan agama. Walau bagaimanapun kadar pembahagian harta pusaka orang Islam hendaklah mengikut Hukum Faraid Qadi atau Mahkamah Syariah masih dikehendaki menolong urusan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam dalam menentukan bahagian faraid, mengesahkan sesuatu nazar, wasiat dan juga membuat keputusan berkenaan dengan harta sepencarian (carian laki bini). Manakala lain-lain tuntutan atau guaman ke atas harta pusaka seperti hutang piutang dan sebagainya hendaklah dikemukakan di Mahkamah Sivil (Dato' Haji Wan Mohammad 1988).

Pentadbiran pusaka orang-orang Islam dan bukan Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Pegawai Penyelesai Pusaka, Perbadanan Amanah Raya Berhad (Pemegang Amanah Raya) atau Mahkamah Tinggi Sivil. Walau bagaimanapun, kadar pembahagian pusaka orang-orang Islam dan penentuan waris-waris sama ada berhak atau tidak akan diputuskan oleh Mahkamah Syariah menurut undang-undang pusaka Islam (faraid). Mahkamah Syariah mempunyai kuasa mengeluar atau mengesahkan waris-waris yang berhak da kadar bahagian masing-masing dalam bentuk Sijil Faraid atau Perakuan Ahli Waris. Demikian juga perkara-perkara hukum syarak yang lain seperti menentukan kesahtarafan anak, sah atau tidak akad perkahwinan, harta sepencarian, mengesahkan wasiat, wakaf, hibah dan sebagainya, adalah di bawah tanggungjawab dan kuasa Mahkamah Syariah (Mohd Zamro & Mohd Ridzuan 2006).


 

3.2 UNDANG-UNDANG HARTA PUSAKA DI MALAYSIA

Terdapat dua buah undang-undang yang menetapkan cara-cara dan peraturan pentadbiran harta pusaka di Malaysia iaitu (Dato' Haji Wan Mohammad 1988) :

3.2.1 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97)

Akta ini dilaksanakan terhadap harta pusaka besar (biasa) dan hara pusaka ringkas. Harta pusaka besar ialah harta pusaka yang jumlah nilainya lebih daripada RM 600,000.00 sama ada terdiri daripada harta alih semuanya atau semuanya harta tak alih atau terdiri dari campuran harta alih dengan harta tak alih atau harta pusaka yang jumlah nilainya kurang daripada RM 600,000.00 tetapi si mati ada meninggalkan wasiat.

Akta Probet dan Pentadbiran 1959 telah dikuatkuasakan pemakaiannya di seluruh Semenanjung Malaysia pada 1hb Februari 1960. Akta ini memperuntukan cara-cara untuk mendapatkan surat kuasa probet dan surat kuasa tadbir. Permohonan untuk mendapatkan surat kuasa probet dan surat kuasa tadbir boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil. Menurut akta ini terdapat tiga jenis surat kuasa wasiat dan kuasa tadbir, iaitu :

i. Surat kuasa wasiat (probet) jika si mati meninggalkan wasiat yang meliputi semua hartanya (bagi si mati yang bukan beragama Islam).

ii. Surat kuasa tadbir bagi harta pusaka tanpa wasiat (intestate estate).

iii. Surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar apabila si mati meninggalkan wasiat untuk sebahagian daripada harta peninggalanya dan sebahagian yang lain tanpa wasiat.

3.2.2 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98)

Akta ini merupakan undang-undang bersifat tadbiran. Tujuan akta ini diperkenalkan ialah untuk menyelaraskan dan menyeragamkan cara-cara pembahagian dan tadbiran pusaka si mati sama ada beragama Islam atau bukan beragama Islam. Di samping itu, akta ini diluluskan bertujuan untuk menjimatkan perbelanjaan dan mempercepatkan urusan pengendalian dan pengurusan sesuatu tuntutan pembahagian pusaka kecil. Akta ini diguna pakai kepada semua tuntutan harta pusaka seseorang si mati sama ada semuanya mengandungi tanah-tanah sahaja atau sebahagiannya mengandungi tanah bersama dengan harta-harta alih yang lain seperti wang tunai, saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Johor (ASJ), dan sebagainya tetapi jumlah nilaian harta itu hendaklah tidak melebihi RM 600,000.00 pada tarikh permohonan dibuat. (Mohd Zamro & Mohd Ridzuan 2006)


 

3.3 UNDANG-UNDANG YANG BERKAITAN DENGAN PENTADBIRAN PUSAKA ISLAM

Di antara undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran pusaka Islam ialah (Mohd Zamro & Mohd Ridzuan 2006):

3.3.1 Undang-undang Pusaka Islam (Faraid)

Sehingga hari ini, di Malaysia tidak ada satu bentuk undang-undang pusaka Islam (faraid) yang telah dikanunkan dalam bentuk undang-undang bertulis oleh negeri-negeri seperti yang terdapat di Mesir iaitu Qanun al-Mawarith 1943. Walau bagaimanapun, kaedah pembahagian pusaka secara Islam telah diikuti sepenuhnya oleh Mahkamah Syariah negeri-negeri. Dalam hal ini, rujukan bolehlah dibuat kepada kitab-kitab fiqh Mazhab Shafie untuk menetukan kedudukan waris-waris dan bahagian-bahagian yang sepatutnya mereka terima dalam harta pusaka si mati yang beragama Islam.

3.3.2 Undang-Undang Pusaka Bukan Islam

Manakala bagi orang-orang bukan Islam, cara-cara pembahagian harta pusaka mereka ditetapkan dalam Akta Pembahagian 1958 (Akta 300). Akta ini diluluskan bertujuan untuk menjelaskan hak-hak perwarisan harta si mati yang bukan beragama Islamserta bahagian-bahagian setiap seorang daripada mereka. Akta ini terpakai sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat. Bahgian setiap waris mengikut akta ini berbeza-beza mengikut keadaa sesuatu kes itu. Sebagai contoh bapa atau ibu masing-masing mendapat ½ bahagian jika si mati tidak mempunyai waris lain. Jika ada waris lain lain, bapa akan mendapat 1/8 dan ibu mendapat 1/8 bahagian. Jika si mati meninggalkan bapa, ibu, isteri dan anak-anak, maka bapa mendapat 1/8, ibu 1/8 isteri 2/8, dan anak-anak mendapat 4/8 bahagian. Sebaliknya, jika si mati hanya meninggalkan suami dan atau isteri tanpa waris-waris yang lain, maka suami atau isteri akan mendapat kesemua bahagian harta si mati dan jika si mati tidak mempunyai waris, maka menurut akta ini harta pusaka si mati akan kembali kepada kerajaan. Anak yang tidak sah taraf tidak boleh mewarisi harta ibunya jika ada anak yang sah taraf.

3.3.3 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan berkelompok) 1960

Akta ini dilaksanakan terhadap tanah-tanah yang dibuka di bawah rancangan pembangunan FELDA. Peneroka-peneroka yang telah berjaya memasuki rancangan FELDA, mereka diberikan sebidang tanah pertanian seluas lebih kurang 6 hingga 10 ekar dan sebidang tanah untuk tapak rumah. Peneroka akan memebayar kepasa FELDA secara beransur-ansur dengan cara 'Bayaran Tahunan Disatukan' setelah tanah rancangannya mengeluarkan hasil, kebiasaannya selepas 6 tahun. Tempoh 'Bayaran Tahunan Disatukan' adalah selama 15 tahun. Tanah rancangan FELDA itu didaftarkan di atas nama Daftar Pegangan Desa dan hakmilik tanah itu belum lagi didaftar dan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah, kecuali setelah semua bayaran dijelaskan sepenuhnya oleh peneroka.

Apabila berlaku kematian seseorang peneroka semasa tanahnya masih di bawah Daftar Pegangan Desa, maka seksyen 16, akta ini mengkehendaki supaya tanah itu diturun milik kepada seorang waris yang berhak sahaja. Jika lebih dari seorang yang berhak dan mereka bersetuju secera maufakat memberi seorang sahaja daripada mereka, pentadbir tanah boleh menjual pegangan itu dan hasil jualannya dibahagikan di kalangan orang-orang berhak mengikut hukum syarak (faraid).

3.3.4 Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri

Enakmen ini melarang sebarang urusniaga dan pindah milik tanah simpanan Melayu kepada bukan Melayu. Enakmen ini menghadkan penurunan milik tanah simpanan Melayu si mati kepada waris yang bukan Melayu, tetapi beragama Islam. Dari segi hukum syarak mereka berhak kepada harta pusaka itu .

3.3.5 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri

Enakmen ini pula mempunyai kuasa untuk memutuskan beberapa perkara yang berkaitan dengan harta seorang islam terutamanya mengenai harta sepencarian, pusaka, hibah, dan wakaf. Kadangkala dalam kes-kes tertentu fatwa mufti diperlukan bagi menetukan harta pusaka dan orang yang berhak terhadap harta itu.

3.3.6 Undang-undang Penama

Melantik penama satu arahan yang sah mengikut undang-undang dan amalan itu meliputi seluruh orang-orang Islam, berbeza dengan Ordinan Wasiat 1959, yang hanya dipakai bagi orang-orang yang bukan beragama Islam sahaja. Persoalan penamaan (Nomination) pada hakikatnya adalah sama dengan wasiat harta benda. Apabila berlaku kematian ke atas seorang penyimpan harta dan wang itu akan menjadi hak mutlak penama sedangkan penama itu kebanyakannya terdiri daripada ahli-ahli waris yang berhak menerima pusaka. Bagi orang-orang Islam, pelantikan penama seperti ini jelas bertentangan dengan hukum faraid dan undang-undang wasiat Islam . Apabila membicarakan soal penamaan ia melibatkan dua jenis harta iaitu :

  1. Harta simpanan dalam institusi kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Simpanan Nasional, Tabung Haji dan sebagainya.

2) Wang insuran nyawa yang ditinggalkan oleh si mati.


Pelantikan penama sudah lama diamalkan di Malaysia baik tentang harta orang-orang islam atau orang-orang bukan Islam, tetapi baru-baru ini perkara ini telah mendapat perhatian pihak berkuasa yang mengambil keputusan bahawa amalan penamaan dan undang-undang penamaan yang bercanggah dengan hukum dan wasiat Islam hendaklah dipinda supaya tidak membolehkan orang-orang Islam membuat sebarang penamaan atau supaya penamaan hanya boleh dibuat oleh orang-orang bukan Islam sahaja.

3.3.7 Customary Tenure Enactment

Enakmen ini lebih dikenali sebagai Enakmen Pengangan Adat (Bab 215) yang memperuntukan cara-cara pembahagian harta pusaka berkaitan dengan tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka. Tanah adat ialah tanah dibawah hak milik Pejabat Tanah yang diwartakan di bawah Enakmen Pegangan Adat dan Enakmen Pegangan Adat (Tanah Lengkongan) 1960 dan ianya diwarisi secara turun temurun oleh sesuatu kaum secara berkelompok. Dalam sijil daftar tanah adapt tercatat nama suku atau kaum berkenaan. Tanah adat banyak terdapat di daerah Jelebu, Rembau, Kualau Pilah, Jempol, Tampin dan Gemas di Negeri Sembilan. Sementara di Melaka pula di Alor Gajah dan Jasin .

3.3.8 Peraturan-peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Pekeliling-pekeliling Berkaitan

Selain undang-undang di atas, terdapat peraturan-peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan perkeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan pembahagian harta pusaka kecil.


 

3.4 PENTADBIRAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA

Mengikut Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pusaka 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, pentadbiran harta pusaka boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Pentadbiran Harta Pusaka Biasa (Besar), Pentadbiran Harta Pusaka Ringkas dan pentadbiran Harta Pusaka Kecil (Dato' Haji Wan Mohammad 1988).

3.4.1 Harta Pusaka Biasa

Harta Pusaka Besar atau biasa ialah semua jenis harta peninggalan si mati yang jumlah nilaiannya RM 600,000.00 ke atas sama ada terdiri daripada harta tak alih semuanya atau harta alih semuanya atau campuran kedua-duanya ataupun harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 600,000.00 tetapi si mati ada meninggalkan wasiat. Pentadbirannya tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan sama ada probet (surat kuasa wasiat dari orang bukan Islam), surat kuasa mentadbir pusaka (bagi pusaka tanpa wasiat)ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar. (bagi si mati yang meninggalkan wasiat sebahagiaan hartanya).

Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan hartanya tidak melebihi 1/3 kepada pihak-pihak yang lain selain daripada waris-warisnya kecuali dengan persetujuan waris-waris lain. Dokumen-dokumen yang diperlukan semasa membuat tuntutan harta pusaka besar sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa menuntut harta pusaka kecil termasuklah surat wasiat terakhir si mati. Permohonan boleh dibuat oleh waris-waris si mati atau si piutang sama ada secara persendirian, melalui khidmat peguam ataupun menerusi bantuan Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB. Setiap permohonan hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada harta pusaka tersebut telah dituntut atau sebaliknya.

Kebiasaannya orang yang diberi probet atau surat kuasa mentadbir pusaka kecuali bagi Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB, disyaratkan mendapat seorang atau dua orang penjamin. Jika sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan mendapatkan penjamin-penjamin yang layak dan sesuai, amak dia bolehlah memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pengecualian daripada mengemukakan penjamin-penjamin atau pendapat khidmat penjamin profesional seperti sayarikat insuran atau institusi bank dengan bayaran yuran yang telah ditetapkan oleh syarikat atau institusi tersebut berdasarkan jumlah harta pusaka .

Surat kuasa mentadbir pusaka atau probet hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin telah diperolehi dan bon (surat ikatan ikrar) pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen. Setelah pempetisyen memperoleh surat kuasa tersebut, dia hendaklah mendaftarkannya di pejabat tanah yang berkenaan supaya semua suratan-suratan hak milik tersebut didaftarkan atas nama pempetisyen sebagai wakil peribadi si mati . Menjadi tanggungjawab pempetisyen untuk memohon kepada mahkamah sebaik sahaja dia menghasilkan semua asset si mati membuat satu perintah pembahagian terhadap harta pusaka kepada waris-waris menurut faraid atau menurut terma-terma wasiat si mati ataupun Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka.

3.4.2 Harta Pusaka Ringkas

Iaitu harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.00 yang terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai, saham, KWSP, ASN ASB, kereta, wang simpanan dan sebagainya. Permohonan untuk penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad.

Terdapat satu peruntukan khas dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang memberi kuasa kepada pegawai pentadbir pusaka atau pemegang Amanah Raya untuk mentadbir dan menyelesaikan harta pusaka ringkas tanpa perlu membuat permohonan Surat Kuasa Tadbir kepada Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak mengikut kadar tertentu sepertimana yang dinyatakan dalam Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah .

3.4.3 Harta Pusaka Kecil

Harta Pusaka Kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat yang terdiri daripada harta tak alih sahaja atau campuran di antara harta alih dan harta tak alih yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 600,000.00 pada tarikh permohonan dibuat.

Undang-undang yang dipakai dalam pentadbiran harta pusaka kecil ialah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dari semasa ke semasa. Tuntutan pembahagian harta pusaka kecil bagi orang-orang Islam dan bukan Islam boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka. Terdapat 37 unit pembahagian pusaka kecil di seluruh semenanjung Malaysia. Unit ini diletakan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. Kebiasaannya tuntutan atau permohonan pembahagian harta pusaka kecil dibuat di Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati terletak. Sekiranya si mati mempunyai tanah yang banyak tempat, sama ada di negeri yang sama atau negeri yang berlainan maka daerah yang mempunyai nilai harta si mati yang paling tinggi akan mempunyai bidangkuasa untuk menyelesaikannya.(Mohd Zamro & Mohd Ridzuan 2006).


 

3.5 PENGURUSAN PENTADBIRAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA

Urusan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka di Malaysia terletak di bawah bidang kuasa institusi berikut (Fitri 2007) :

3.5.1 Ketua Jabatan/Agensi

Berkuasa membahagi harta pusaka boleh alih, nilaian tidak melebihi RM 2,000 menurut Pekeliling Perbendaharaan bil. 2/86. Memandangkan taraf kehidupan dan ekonomi kakitangan kerajaan masa kini yang meningkat, kaedh ini jarang dipraktikkan.

3.5.2 Amanah Raya Berhad (ARB)

Berkuasa mentadbir dan membahagikan harta pusaka boleh alih tanpa wasiat yang nilaiannya tidak melebihi RM 600,000 (mengikut Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959).

Peranan ARB termasuklah :

  1. Mengeluarkan perintah pembahagian dalam bentuk 'Surat Arahan' ke atas harta pusaka si mati yang terdiri daripada harta-harta alih sahaja tanpa wasiat dan nilainya tidak melebihi RM 50,000.
  2. Mengeluarkan 'Surat Akuan ARB' ke atas harta kusaka si mati yang terdiri daripada harta-harta alih sahaja tanpa wasiat dan nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.

3.5.3 Pentadbir Tanah / Seksyen Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian

Berkuasa dan bertanggungjawab mentadbir da membahagikan harta pusaka tidak boleh alih da boleh alih, tanpa wasiat yang nilaiannya tidk melebihi RM 600,000 (Mengikut Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955)

Di dalam Ministrial Functions Act 1969, Order 1991, Peguam Negara mengarahkan hal pengurusan dan pembahagian harta pusaka kecil diletakkan di bawah Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan dengan itu diwujudkan jawatan pegawai penyelesai pusaka kecil (penolong pengarah) pada tahun 1974, khusus bagi tugas-tugas pembahagian harta pusaka.

3.5.4 Mahkamah Tinggi

Mahkamah tinggi mempunyai kuasa membahagikan harta pusaka berwasiat dan tanpa wasiat, pada semua jenis harta alih dan tidak alih dan tidak tertakluk kepada sebarang nilaian harga (Akta Probet dan Pentadbiran 1959). Mahkamah Tinggi juga berkuasa mendengar dan memutuskan sebarang rayuan ke atas keputusan oleh ARB dan pentadbir tanah.

3.5.5 Mahkamah Syariah

Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri-negeri memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bagi mengeluarkan sijil faraid. Sjil faraid adalah dokumen akuan pewarisan orang beragama Islam, yang menyatakan kesahihan ahli-ahli waris dan bahagian-bahagian yang diperoleh. Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes perbicaraan harta pusaka serta mengeluarkan perintah pembahagian.


 

3.6 KUASA PERSEKUTUAN DAN NEGERI TERHADAP HARTA PUSAKA

Terdapat dua peruntukan yang berbeza dalam Jadual ke 9 Perlembagaan Persekutuan, di mana undang-undang pusaka orang-orang Islam (faraid) diletakkan di dalam Senarai 2(1) iaitu Senarai Negeri yang dan pentadbiran pusaka orang-orang Islam di bawah Senarai 1(4)(e) iaitu Senarai Persekutuan. Ini bermakna undang-undang pusaka orang-orang Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri manakala pentadbiran pusaka orang-orang Islam terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Oleh kerana itu, Parlimen telah meluluskan dua jenis undang-undang bagi mentadbir pusaka orang Islam dan bukan Islam iaitu akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Dalam pentadbiran dan penyelesaian kes-kes pusaka orang Islam, Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa memperaku dn mengesahkan bahagian-bahagian yang akan diperolehi oleh waris-waris dalam bentuk 'Sijil Faraid' atau 'Perakuan Ahli Waris' sahaja. (Mohd Zamro & Mohd Ridzuan 2006).


 

3.7 KETENTUAN MAZHAB SYAFIE DI DALAM HARTA PUSAKA

Beberapa pendapat Mazhab Syafie terhadap masalah di dalam pembahagian harta pusaka yang digunakan di Malaysia (Dr. Haji Abdullah 1980) :

  1. Mengenai hutang piutang : hutang kepada tuhan, seperti zakat dan haji lebih diutamakan daripada hutang kepada manusia.
  2. Mengenai pembunuhan : tidak ada pusaka bagi pembunuh dalam pengertian membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja
  3. Membahagikan ahli waris kepada lima kelompok : iaitu zu-faraid, asabah, zu-arham, mu'tiq (orang yang memerdekakan hamba sahaya) dan asabahnya yang lelaki, dan negara kerana pengambil alihan seperti baitul mal.
  4. Mengenai pengertian kalalah : tidak ada anak ke bawah (tidak ada keturunan) dan ayah telah meninggal dunia lebih dahulu.
  5. Mengenai datuk bila mewarisi bersama-sama dengan saudara kandung lelaki da perempuan dan saudara sebapa lelaki mahupun perempuan, maka datuk diberi pilihan salah satu dari tiga cara pembahagian yang lebih menguntungkan baginya, iaitu :
    1. Muqasamah, pembahagian sama rata dengan saudara sekandung dan sebapa
    2. Sepertiga dari baki harta pusaka bila tidak ada zu-faraid
    3. Seperenam dari harta pusaka sebagai zu-faraid.
  6. Mengenai asabah : urutan keutamaannya ialah dari keturunan, bapa sahaja, datuk dan para saudara lelaki, keturunan saudara lelaki dan keturunan nenek moyang yang jauh, yang lebih dekat kepada si amati menyingkirkan yang leih jauh.
  7. Mengenai zu-arham : orang yang mempunyai hubungan darah dengan si mati tetapi bukan zu-faraid dan bukan pula asabah seperti cucu perempuan ditempatkan pada tempat anak perempuan dan menerima pusaka seperti anak perempuan
  8. Mengenai Baitul Mal : Jika tiada zu-faraid dan asabah maka harta pusaka si mati diambil alih oleh Baitul Mal.
    1. Mengenai wasiat : tidak boleh lebih daripada 1/3 harta pusaka.


 

4.1 PENUTUP


 

5.1 BIBLIOGRAFI

Al-Quran al-Karim

Dr Fathurrahman. 1975. Ilmu Waris. Bandung: Penerbit Al Maarif.

Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang. 2006. Undang-Undang Pusaka Islam
Pelaksanaan di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Fitri Abdul Rahman. 2007. Bagaimana Mengurus Harta Pusaka. Kuala lumpur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.

H.Addys Aldizar, Lc & H. Fathurrahman, Lc. 2004. Hukum Waris. Jakarta: Senayan Abadi Publishing.

Dr Haji Abdullah Siddik, SH. 1984. Hukum Waris Islam Dan Perkembangannya di Seluruh Dunia Islam. Bandung: Penerbit Widjaya Jakarta.

Dato' Haji Wan Mohammad Hj Wan Mustapha. 1988. Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam. Kuala Lumpur: Al-Rahmaniah.

Al-Zuhaily, Wahbah. 1989. Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Jil. 8. Damsyik: Darul Fikr

Mohd Ridzuan bin Awang. 2003. Undang-Undang dan Pentadbiran Pusaka, Wasiat, dan Wakaf: Pengajian Jarak Jauh. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Ridzuan Awang. 1988. Undang-undang dan Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Al-Rahmaniah.